MASALAH RASUAH SEMAKIN BERLELUASA
Apa itu Rasuah?
Rasuah bermaksud suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak, atau keistimewaan dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tertentu. Menurut Badan Pencegah Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:
1) Meminta/ menerima rasuah2) Menawar/ memberi rasuah
3) Membuat tuntutan palsu
4) Menyalahguna jawatan/ kedudukan
Rasuah ini berlaku disebabkan beberapa punca. Antara punca utama yang menyebabkan berlakunya rasuah adalah disebabkan kelemahan peribadi seperti lemah imam dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang. Hal ini dapat dilihat dalam teori "Technique of Neutralization" oleh Grisham dan David Matza. Di mana mereka mengatakan "Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang tahu". Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, dan ingin cepat kaya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.
Selain itu, sosial dan budaya juga merupakan punca-punca yang menyebabkan berlakunya rasuah. Di mana masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda sempena menyambut hari-hari perayaan, hari kebesaran, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah untuk melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.
Gejala rasuah ini banyak mendatangkan kesan negatif kepada individu itu sendiri, masyarakat dan negara. Antara kesan negatif yang paling besar disebabkan rasuah adalah menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentdbiran dan pemerintahan sesebuah negara. Contohnya, di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.
Memandangkan gejala rasuah semakin berleluasa pelbagai langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini harus segera di ambil oleh pihak yang bertanggungjawab sebelum ia terus merebak ke tahap yang kritikal. Antara langkah yang boleh di ambil untuk mengatasi gejala rasuah ini adalah dengan mengukuhkan keimanan dan jatidiri. Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membanteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin, peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat di atasi. Kekuatan imam dan jatidiri dapat menangkis habuan rasuah sekalipun peluang terbuka luas di hadapan mata.
Selain itu, meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman juga merupakan langkah yang boleh di ambil untuk mengatasi gejala rasuah ini. Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibanteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu, para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.
No comments:
Post a Comment